Superbike BMW Pekin Ibrahim Kena Curi!

KALAU sudah bukan rezeki. Motosikal berkuasa tinggi milik pelakon Pekin Ibrahim ‘lesap’ dikebas pencuri pada 24 Julai lalu, yang mengakibatkan dia kerugian lebih RM100,000.

Pekin atau nama sebenar Mohd Iznan Ibrahim, 35, berkata, motosikal jenama BMW S1000 itu disedari hilang di kawasan rumah rakannya di Seksyen 30, Shah Alam.

“Kalau nak dikirakan, kerugian yang saya tanggung lebih RM100,000 sebab saya ada buat banyak ubah suai.

“Kemungkinan individu yang curi ingin menjual barang-barang yang ada pada motorsikal itu. Nasib baik boleh tuntut dalam 30 peratus daripada kerugian tersebut pada insuran.

“Namun, buat masa sekarang saya masih perlu membayar pinjaman bulanan kepada bank sehingga waktu tertentu,” kata Pekin, memetik sebuah portal berita.

Tetap berusaha untuk mencari motosikalnya itu, Pekin memuat naik gambar motornya itu dengan menulis kapsyen tentang kehilangannya dan sempat berseloroh jika jumpa sila tolong ‘curi’kan balik untuknya!

“Motor saya. BMW S1000. Hilang ‘dirembat’. Plate number BKV 616. Jadi kalau ada info, boleh tolong ‘rembat’ balik,” tulis pekin.

Berita kecurian motor itu mendapat perhatian ramai dan turut disebarkan para peminatnya dalam usaha untuk ‘menjejaki’ kembali motor artis kesayangan mereka itu.

Dalam pada itu, peminatnya meminta pelakon Bunohan tersebut untuk bertenang dan tabah dengan dugaan yang menimpanya.

Sementara itu, Pekin memberitahu dia menyedari motosikalnya tiada di rumah rakannya selepas pulang dari Banting dan terus membuat laporan polis.

“Saya tumpang letak motosikal di rumah kawan sebab kebetulan saya ada jalani penggambaran filem di Banting. Tak sangka pula, sehari selepas itu ia dah tak ada,” ujarnya.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada maklumat terbaru mengenai kehilangan itu.-MYNEWSHUB.CC

Loading...