SATU PERUBAHAN

Syamel Nafi ‘Pilih Bulu’ Dalam Persembahan

in Artis/Utama & Sensasi

DIKATAKAN bersikap ‘pilih bulu’ dan hanya memberikan persembahan terbaik di pentas besar, penyanyi, Syamel menafikan dakwaan yang mengatakan dia bertindak sedemikian kerana ingin menaikkan namanya melalui acara yang berprestij sahaja.

Penyanyi bersuara serak basah yang lahir dari program Akademi Fantasia 2016 itu menegaskan bahawa dia tidak pernah sesekali membezakan setiap tawaran nyanyian yang diterimanya.

Sebaliknya, Syamel berkata dia sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan yang dilakukannya tidak kira di pentas mana pun.

Namun, sekiranya persembahan tersebut merupakan pertandingan nyanyian, Syamel megakui meletakkan lebih usaha dalam persediaannya yang merangkumi aspek vokal serta persembahan.

Lapor BH Online, Syamel berkata, dia sebolehnya mengelak daripada memberikan persembahan secara sambil lewa kerana sikap tersebut hanya akan menjejaskan kerjayanya sebagai penyanyi.

“Saya tidak pernah meletakkan kelas pada persembahan. Apabila sudah mempersetujuinya, saya pasti akan memberikan yang terbaik untuk mereka yang menonton. Tambahan pula, setiap persembahan saya dibayar.

“Tidak dinafikan, kualiti persembahan mungkin berbeza ketika saya menyertai pertandingan dan membuat persembahan biasa. Sudah pasti, apabila membabitkan pertandingan, saya akan meletakkan lebih usaha.

“Saya perlu menggunakan peluang itu untuk menonjolkan kemampuan sebenar. Soal menang atau kalah, itu perkara kedua. Tetapi, itu tidak bermakna saya ambil ringan persembahan lain,” katanya memetik portal online akhbar tersebut.

Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) bersama Ernie Zakri itu turut berkata dia tidak pernah terlintas bersaing kehebatan bersama rakan duetnya itu.

Syamel mengulas mengenai persembahannya di pentas Anugerah MeleTOP ERA bersama Ernie tempoh hari dikatakan tenggelam dan dibayangi rakan pasangan duetnya itu ketika menampaikan lagu Perfect nyanyian Ed Sheeran dan Beyonce.

Ujar Syamel, sebagai pasangan duet, mereka berdua berusaha untuk sailing melengkapi dalam paduan vokal dan bukan berlawan mengenai siapa yang lebih hebat.

“Kalau diikutkan lagu Perfect nyanyian asal Ed Sheeran dan Beyonce, bahagian penyanyi wanita cuma sedikit.

“Kami bagaimanapun, membuat sedikit perubahan supaya persembahan kami seimbang dan serasi.

“Tidak timbul soal dibayangi atau mahu menenggelamkan sesiapa. Dalam duet, kita kena saling bekerjasama supaya keserasian dalam persembahan dirasai penonton,” jelasnya.

Syamel turut menambah bahawa Ernie turut banyak bertolak ansur ketika menyanyi secara duet bersama Syamel apabila bersedia menurunkan range vokalnya bagi mengimbangi persembahan mereka.

Penyanyi yang mula popular melalui lagu Hidup Dalam Mati dan kemudiannya melalui lagu Lebih Sempurna itu turut mengakui single terbaharunya yang dilancarkan beberapa bulan lalu masih belum mendapat tempat di hati pendengar.

Single berjudul Biar Cinta itu dihasilkan Syamel ketika bersaing pada pentas akhir AF Megastar 2017, dan dilihat orang ramai seperti kurang mendapat promosi dari Syamel serta pihaknya.

“Sayang jika lagu itu terbiar begitu sahaja, jadi saya keluarkan sebagai single atas permintaan peminat. Promosi tetap ada, cuma kami biarkan dahulu lagu itu bergerak sendiri untuk melihat sejauh mana ia mampu pergi,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Terkini dari Artis

Go to Top