Tembikai Dari Ubai Tembusi Pasaran Dubai

KUANTAN – Jika sebelum ini durian Musang King, nangka madu dan manggis dari negeri ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa sehingga ke China dan Eropah, kali ini tembikai dari Ubai, Pekan pula memasuki pasaran Dubai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif berkata Kampung Ubai dipilih sebagai lokasi pelancaran ‘Tembikai Dari Ubai Ke Dubai’ kerana ia merupakan kawasan penanaman utama tembikai di Pahang.

“Kampung ini telah menjalankan aktiviti penanaman tembikai sejak 30 tahun lalu dan seramai 38 orang penduduk di sini terlibat dalam penanaman buah tersebut di kawasan seluas hampir 29 hektar.

“Bagi peringkat permulaan, kita akan mengeksport sebanyak 80 tan metrik buah tembikai dari sini ke Dubai dengan empat kali penghantaran sebulan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program ‘Tembikai Dari Ubai ke Dubai’ di Balai Raya Kampung Ubai di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Mansor Omar dan Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Yusof Sultan.

Shafik Fauzan berharap program itu dapat menarik lebih ramai penduduk terutamanya golongan muda untuk terlibat dalam bidang pertanian bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Program ini juga diharap dapat memberi impak berganda kerana ia merupakan projek sentuhan kerajaan kepada rakyat melalui pertanian sekali gus menyumbang kepada meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

Beliau turut berharap program tersebut akan dapat menjadi satu lagi ikon tarikan untuk daerah Pekan. – BERNAMA

Loading...