Tengah Solat Jenazah, Tiba-Tiba Mangsa Muncul

KELUARGA dan orang ramai di sebuah kampung di Indonesia gempar apabila seorang warga emas yang disangkakan sudah meninggal dunia tiba-tiba muncul ketika solat jenazah hendak dijalankan.

Kejadian yang berlaku di Magelang, Wilayah Jawa Tengah itu menyaksikan suasana yang pada mulanya hiba bertukar menjadi gembira apabila keluarga Suharto melihat warga emas berusia 68 tahun itu masih hidup.

Lapor Tribun News, Suharto pada awalnya telah keluar memancing bersama-sama dengan dua orang rakannya yang dikenali sebagai Pangat dan Edi ke Wadaslintang, Wonosobo, Jawa Tengah pada 1 Mei lalu.

“Saya memancing bersama rakan-rakan ke Wadaslintang, berangkat hari Selasa dan pulang hari Khamis.

“Sewaktu perjalanan pulang, rakan saya, Pangat yang menjadi pemandu ketika itu dapat panggilan telefon dari anaknya yang mengatakan bahawa saya sudah meninggal dunia akibat kemalangan.

“Jadi, Pangat pun kaget, terutama sekali apabila saya masih berada di sebelahnya dan ternyata masih hidup,” ujar Suharto.

Pada Khamis, seorang lelaki warga emas telah ditemui meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah lori kontena dalam satu kemalangan ngeri.

Motosikal yang digunakan adalah kepunyaan Suharto menyebabkan pihak polis serta saksi yang mengenali motosikal berkenaan menyangkakan mangsa adalah Suharto.

Ketua Polis Jawa Tengah berkata, pihaknya telah membawa jenazah ke hospital Tidar Kota Magelang selepas kemalangan, dan ahli keluarga yang dihubungi mengesahkan bahawa jenazah itu merupakan Suharto.

Malah, beg kepunyaan Suharto yang mempunyai kad pengenalan serta maklumat mengenainya juga dijumpai di tempat kejadian.

Jelas Suharto, selepas melihat rakaman video di tempat kejadian, dia akhirnya menyedari bahawa mangsa yang meninggal merupakan rakan tenteranya, Albertus Joko Susetyo, 70.

“Saya baca berita dan dilaporkan mangsa kemalangan menaiki motosikal jenis Honda Beat, dan namanya Suharto, alamatnya juga alamat saya.

“Ternyata setelah saya lihat video kemalangan itu, saya tahu itu Joko, rakan saya sendiri. Saat itu saya sedar bahawa orang ramai telah menerima informasi yang salah,” jelasnya lagi.

Namun begitu, keluarganya dan orang kampung masih tidak tahu perkara tersebut dan membawa jenazah pulang ke rumah keluarga Suharto dan ternyata terkejut apabila lelaki tersebut tiba-tiba pulang dalam keadaan sihat.

Menurut anak sulung Suharto, Agung Hermawan, anak mangsa sebenar iaitu Joko ada datang ke rumah mereka mencari bapanya namun ketika itu mereka masih belum mengetahui identiti sebenar jenazah itu.

Setelah Suharto pulang dan identiti jenazah telah diketahui, mereka menghubungi pihak keluarga Joko dan menyerahkan jenazah kepada mereka untuk dikebumikan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan Balai Polis Magelang, Iptu Bima, salah faham itu juga berpunca daripada pihak keluarga Suharto sendiri yang bekerja di hospital berkenaan.

“Sebenarnya kesalahan bukan dari pihak polis. Ketika mangsa sudah dibawa ke hospital, saudara atau keluarga Suharto yang kerja di hospital itu mengiyakan bahawa mayat berkenaan ialah Suharto.

“Mereka kemudiannya menyampaikan khabar itu kepada keluarga di rumah,” ujar Bima.

Keadaan jenazah yang cedera parah menyebabkan mangsa sukar dikenali, namun setelah keluarga mangsa mengesahkan identitinya, pihak polis melepaskan jenazah untuk dibawa pulang ke rumah. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...