Tunku Sallehuddin Dimasyhur Sultan Kedah Baharu

ALOR SETAR – Raja Muda Kedah yang juga Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah ke-29.

Baginda yang berumur 75 tahun, dinobatkan untuk menggantikan kakandanya, almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat dalam usia 89 tahun di Istana Anak Bukit di sini semalam.

Pengumuman mengenai pemasyhuran baginda diisytiharkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dalam istiadat khas di Balai Penghadapan Baharu, di Istana Anak Bukit, sebelum pemakaman.

Sejurus pengisytiharan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, mengiring Tunku Sallehuddin untuk bersemayam di singgahsana.

Ia disusuli dengan laungan “Daulat Tuanku” oleh hadirin sebanyak tiga kali. Tunku Sallehuddin diputerakan di Alor Setar pada 30 April 1942 merupakan anakanda kesembilan kepada Almarhum Sultan Badlishah.

Baginda yang pernah dibesarkan di Istana Anak Bukit, dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah pada 15 Disember tahun lalu. Tunku Sallehuddin berkahwin dengan Tengku Maliha Tengku Ariff.

Sebelum ditabal sebagai Raja Muda Kedah, baginda ialah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Allahyarham Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 2014. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...