Ziana Menangis, Sebak Ketika Menyanyi Di Pentas

TABAH… Persembahan penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain terhenti seketika membuatkan suasana jadi hening namun penonton jelas mengerti apa yang sedang bermain di fikirannya.

Artis tersebut dikatakan ‘tewas’ tidak mampu menahan kesedihan apabila secara tiba-tiba menitiskan air mata sambil ditenangkan dengan sorakan sokongan peminat ketika mereka menyaksikan persembahan berkenaan.

Menurut portal tempatan MStar Online, riak kesedihan Ziana jelas terserlah sewaktu menyanyikan lagu popularnya Puncak Kasih menerusi satu persembahan eksklusif di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur lewat malam Sabtu.

Ziana Menangis, Sebak Ketika Menyanyi Di Pentas

Saat itu, dia tidak dapat meneruskan nyanyian dan terus membiarkan sahaja muzik berkenaan terpasang. Penonton bagaimanapun berusaha membantu Ziana dengan menyanyikan sambungan bait lagu berkenaan tanpa diminta.

“Saya masih tabah. Sebagai selebriti, pelbagai perkara boleh berlaku. Tapi kena ‘move on’ dan teruskan kerjaya,” demikian kata Ziana atau nama penuhnya Siti Roziana Zain, 49, yang dipetik media sejurus habis persembahan.

Terdahulu, Ziana meminta agar diberikan ruang untuk memberi sebarang kenyataan berhubung tuduhan ke atas suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambrididakwa pada 6 Mac lalu atas tuduhan mencederakan anak lelaki mereka.

Ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, Armin, 53, yang tidak bekerja mengaku sebagai tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin

Mengikut pertuduhan, Armin didakwa menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap anaknya dengan menggunakan rotan dalam insiden di rumahnya di Denai Alam pada jam 4 pagi pada 25 Februari lalu.

Berikutan itu, kes Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan sekali gus menggemparkan perhatian seluruh negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...