Zizan Bakal Bergandingan Dengan Raffi Ahmad

KEJAYAAN seorang demi seorang pelakon tempatan menempa nama di negara seberang membuktikan bahawa industri kita kini berkembang dengan baik.

Kini, tiba giliran Zizan Razak pula untuk menempa nama menerusi filem terbitan Indonesia bersama-sama aktor popular republik itu iaitu Raffi Ahmad.

Ini merupakan projek pertama Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 33, bekerjasama dengan produksi dari negara jiran tersebut.

“Tidak lama lagi, saya akan berlakon filem Indonesia bersama Raffi. Setakat ini, kami sudah pun memeterai kontrak projek terbabit. Cuma, tajuknya saya kurang pasti.

“Insya-Allah, penggambaran akan dijalankan dalam masa terdekat. Syukur alhamdulillah, karier seni saya melangkah setapak lagi ke hadapan dan berharap agar ia berjalan dengan lancar,” katanya dipetik daripada BH Online.

Sebelum ini, aktres Nur Fazura turut menempa nama di Indonesia dengan membintangi lima buah filem terbitan produksi di sana.

Sementara itu, Zizan mendedahkan bahawa Raffi sendiri yang telah menghubungi dirinya selepas dia diperkenalkan oleh salah seorang pegawai perhubungan awam dari negara ini.

Walaupun masih belum memulakan penggambaran, namun Zizan sudah berasa gemuruh kerana dia bimbang dengan penerimaan penonton dari Indonesia terhadap cara lakonannya nanti.

“Saya tidak tahu bagaimana mereka akan menerima saya nanti? Bagaimanapun, apa yang penting, saya dapat melebarkan ‘sayap’ kerjaya ke negara seberang.

“Ia juga bukan soal mencari peminat semata-mata, tetapi lebih kepada langkah baharu dalam mengukuhkan kerjaya seni.

“Diakui, saya mempunyai sekelompok peminat kecil dari Indonesia yang menetap di negara kita. Jadi, insya-Allah, peminat seni hiburan di sana juga boleh menerima saya,” tambahnya lagi.

Mungkin dengan adanya tawaran seperti ini, akan membawa nama Zizan ke peringkat yang lebih tinggi dan menjalinkan kerjasama yang utuh antara dua negara nusantara. – MYNEWSHUB.CC/AH

Loading...