Polis Cuba Kesan Pemilik Akaun Isis Malaysia 69

BACA LAPORAN MYNEWSHUB MENGENAI ISU INI : VIDEO: Budak-Budak Berangan ISIS, Nak Letup Mahkamah M’sia

KUALA LUMPUR — Polis sedang mengesan pemilik akaun YouTube ‘isis malaysia 69’ bagi membantu siasatan berkaitan cubaan menghasut orang ramai mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan di mahkamah negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan menyiasat kumpulan yang terlibat dengan video itu.

“Sesiapa yang cuba menggugat keamanan dan ketenteraman akan menerima padahnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam video berdurasi kira-kira seminit itu, empat individu dalam video itu berselindung dengan berpakaian serba hitam dan menutup bahagian muka bagi mengelak identiti mereka dikenal pasti.

Dalam video itu, mereka memberi amaran akan mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan mahkamah dengan membakar mercun pada 18 Feb pada pukul 11.30 malam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur SAC Zainuddin Ahmad berkata, pemilik akaun itu dipercayai telah memuat naik video berkenaan pada hari Ahad di media sosial dengan tujuan menghasut orang ramai untuk turut serta dalam perjuangan mereka dengan dakwaan-dakwaan yang dilontarkan.

“Sehingga kini, tiada tangkapan yang dibuat berhubung kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen,” katanya.— BERNAMA

Loading...