‘Jampi’ Hael Husaini Juara Lagu Ke-32

KUALA LUMPUR – Lagu Jampi ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini yang dinyanyikan Hael sendiri muncul juara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) menewaskan 11 lagu lain yang bertanding di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Lagu yang menjadi siulan peminat sepanjang tahun 2017 itu membawa pulang sebuah trofi yang diberi nafas baru bertatahkan permata hasil rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini, baucar CJ Wow Shop bernilai RM10,000 serta wang tunai berjumlah RM50,000.

Hael Husaini

Naib juara pula menjadi milik lagu berjudul Sejati ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan yang dipersembahkan oleh Azmi daripada kumpulan Caliph Buskers.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 beserta trofi dan juga baucar CJ Wow Shop bernilai RM2,000.

Mike Chan dan Azmi Caliph Buskers.

Bagi tempat ketiga, lagu ciptaan bersama Goufrann dan Ibnu hasil nyanyian penyanyi baru yang meningkat naik, Haqiem Rusli, Tergantung Sepi mendapat tempat ketiga yang membolehkan mereka memperoleh wang tunai sebanyak RM20,000 beserta trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM2,000.

Haqiem Rusli

Paduan suara Syamel dan Ernie Zakri yang membawa lagu berjudul Aku Cinta ciptaan Syamel dipilih sebulat suara oleh juri professional bagi memenangi anugerah Vokal Terbaik sekaligus memecah dominasi Dayang Nurfaizah yang memenanginya selama tiga tahun berturut-turut sejak AJL yang ke-29.

Kemenangan tersebut menyaksikan mereka membawa pulang RM12,000 beserta trofi, baucar CJ WOW Shop RM2,000.

Syamel dan Ernie Zakri.

Persembahan bertenaga ditampilkan Altimet dengan tema kepahlawanan membawa tuah apabila lagu Amboi menyaksikan dia merangkul anugerah Persembahan Terbaik sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000 beserta trofi, baucar CJ Wow Shop RM2,000 serta telefon pintar Samsung A8.

Kemenangan Altimet itu tidak disangkal lagi memandangkan persembahan tersebut mendapat sorakan terbesar pada malam itu.

Altimet

Sementara itu, Khai Bahar yang mempersembahkan lagu Bayang turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung dan membawa pulang trofi dan telefon pintar Samsung A8+.

Lagu yang turut dipertandingkan di pentas AJL32 ialah Separuh Mati Ku Bercinta nyanyian Dayang Nurfaizah (ciptaan sepenuhnya Ajai); Akhirnya Cinta, nyanyian Salma dan ciptaan Ajai dan Slen; Aku Yang Sebenar – Hazama The Penglipur Lara (Datuk M Nasir/Ad Samad); Lebih Sempurna – Syamel (Syamel/Edry Abd Halim/Boy Anaz); Menahan Rindu – Wany Hasrita (Ibnu/Gouffran) dan Warkah Untuk Ku – Ara Johari (Hang Nadim/Laq).

Kesemua persembahan pada AJL 32 diadili oleh 10 juri profesional yang diketuai komposer terkenal, Azmeer.

Sementara itu, kemeriahan malam tersebut dimulakan dengan persembahan pembukaan bertenaga oleh Stacy dan Waris yang menyampaikan tiga buah lagu Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang.

Stacy
Alif Satar dan Sherry Alhadad.

AJL 32 yang bertemakan ‘Fesyen dan Muzik’ menampilkan Alif Satar dan Sherry Alhadad sebagai pengacara dan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.

Persembahan menarik tema ‘Pop Yeh Yeh’ turut diserikan Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk Awie dan juga Siti Sarah sebagai persembahan penutup. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Datuk Jeffrydin
Datuk Awie

Loading...